KUALA LUMPUR: Pelakon Ammar Alfian didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebuah van Pos Malaysia menggunakan kayu besbol dan menumbuk pemandu van itu, April lalu.

Majistret S Mageswary turut memerintahkan Ammar Alfian Aziz, 34, menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, pelakon terbabit membayar denda dikenakan.


Bagi pertuduhan khianat, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara sebulan, manakala bagi pertuduhan mencederakan pula dikenakan denda RM1,500 atau penjara sebulan.

Ammar Alfian didakwa melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebelah kanan kenderaan jenis Toyota Hiace milik Pos Malaysia Berhad menggunakan kayu besbol sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM777.

Pelakon filem Paskal itu dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu di Jalan Budiman 26/17A, Cheras di sini, pada jam 1.45 tengah hari, 5 April lalu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ammar Alfian turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Nur Aimin Mohd Noor, 31, pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-keduanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama di masa depan.

“Tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang awam memandangkan dia seorang artis dikenali ramai,” katanya.

Peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili Ammar Alfian memohon hukuman ringan atas alasan ini kesalahan pertama anak guamnya dan kerugian dialami hanya sekitar RM700.

“Mangsa juga hanya mengalami kecederaan ringan dan anak guam saya memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan,” katanya.

Sumber – BERNAMA