Tangkap hati dengan akhlak, guna mekanisma santai dan bersaja serta kenali minat mereka dalam merangka program yang lebih mesra dengan pengundi muda.

Ketua Dewan Ulama PAS Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata melalui pemerhatiannya, kebanyakan pengundi muda tidak mempunyai identiti parti politik tersendiri.

Oleh itu, ini merupakan salah satu peluang sekiranya menggunakan kaedah ini dekati mereka melalui hobi, sukan, dan minat dalam usaha bersosial dengan mereka.

“Kadang-kadang sokongan itu mereka beri kepada individu yang banyak bermuamalah (bercampur) dengan mereka.

“Kita masuk ke kedai, belanja mereka, tanya khabar mereka dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan DUPP ke-60, di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, di sini, semalam.

Beliau menyarankan Ahli Dewan Ulama PAS turut mengambil peranan mendekati pengundi muda dengan merangka program yang bersesuaian sambil berdakwah.

Tiada yang sukar, jadikan mereka rakan dan sahabat, beri mereka kepercayaan, dan mampu mewujudkan jambatan kebersamaan kepada golongan muda.

Beliau juga menyarankan AJK Dewan Ulama supaya meletakkan martabat satu taraf dengan anak muda dengan tidak menggadai moral dan maruah untuk mendekati golongan itu.

Tambahnya, AJK Dewan Ulamak juga perlu turun bercakap dan bergurau dengan anak muda dengan tidak menampakkan ‘elit’ atau ‘alim’ sangat kerana akan menjauhkan daripada mereka.

Menurutnya golongan muda, mereka mahukan pemimpin yang sedang mendengar kata hati mereka, boleh dibawa bergurau meletakkan diri sebaris dengan mereka memudahkan mendekati mereka, kerana pada mereka tiada lagi halangan untuk berkomunikasi dengan mereka.

“Kita perlu terokai bidang-bidang yang seumpama ini, dan ini adalah salah satu perkara yang menjadi kelemahan kepada kita dalam Dewan Ulama.

“Ini kita kena akui belakalah, apabila saya sebut Dewan Ulamak, kepala dia sayalah. Lemah bermula daripada saya, kita lemah. Cuma kita kena perbaiki semula,” katanya.

Tamat