Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 1.5 bilion bagi Projek Perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di samping menyediakan jaminan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan berjumlah RM 2.0 bilion bagi membantu golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk pembiyaan membeli rumah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali berkata, sehingga 2020, sebanyak 282,259 rumah mampu milik (rumah berharga RM300k dan ke bawah) atau 43.2% daripada sasaran 653,000 unit telah siap dibina oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemaju swasta.

Menurut beliau, walaupun terdapat pelbagai usaha di pihak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana masih tidak berkemampuan untuk membeli rumah.

“Selain itu, faktor kurangnya penyelarasan dalam kalangan pihak berkepentingan telah menjejaskan perancangan dan pelaksanaan program perumahan mampu milik awam ini.

“Disebabkan itu, beberapa program yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa pada peringkat Persekutuan dan negeri tidak sejajar dengan dasar perumahan mampu milik, bahkan hanya menguntungkan pemaju semata-mata.” ujar beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Kerajaan perlu menangani isu ini seperti menambah baik akses kepada rumah mampu milik, meningkatkan bekalan rumah mampu milik kepada kumpulan sasar dan mengurus kos pembinaan rumah.

Beliau menegaskan bahawa, dalam menjayakan perancangan ini, beberapa perkara perlu dititikberatkan, seperti menyediakan solusi yang komprehensif kepada golongan belia dan B40 terutamanya dalam menunaikan komitmen bayaran rumah, moratorium pembinaan rumah-rumah mewah perlu dilaksanakan dengan kadar segera supaya tiada lagi lambakan rumah, memberi fokus kepada pembinaan rumah yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat B40 dan anak muda dan mengutamakan rakyat berbanding pemaju dalam setiap pembinaan rumah.

Dr Khairuddin turut membangkitkan Dasar Perumahan Negara 2018-2025.

“Adakah Dasar Perumahan Negara 2018-2025 masih diteruskan atau diwujudkan Dasar Perumahan yang lain?

“Apakah pencapaian yang dicapai melalui perlaksanaan dasar ini?” Ujarnya.