Semua anggota Kabinet bakal melalui satu tinjauan khas yang akan dijawab oleh rakyat bagi mengelakkan mereka syok sendiri dalam melakukan tugas di kementerian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, menyeru supaya rakyat mengambil bahagian dalam soal selidik itu, supaya ahli jemaah menteri tahu mereka sebenarnya sedang bertugas dengan amanah Allah.

“Kajian soal selidik itu, satu kaedah yang baik bagi memastikan setiap Menteri dan Kementerian tidak syok sendiri dan terus komited menjalankan tugas diamanahkan rakyat kepada mereka.

“Tetapi pada masa sama, saya harap maklum balas diberi oleh masyarakat awam melalui kaji selidik itu dibuat tanpa sebarang sentimen atau mengikut emosi.

“Berikan maklum balas berdasarkan prestasi kerja yang sudah kami laksanakan sepanjang 100 hari ini supaya jika ada sebarang penambahbaikkan, ia dapat dilakukan dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penilaian terhadap prestasi 100 hari Menteri dan Kementerian yang kini dijalankan melalui soal selidik di laman MyTinjauanAKM di pautan https://tinjauansoalselidik.mampu.gov.my/ms sehingga 15 November ini.

Menurut laman itu, tinjauan berkenaan bertujuan mendapatkan pandangan orang awam terhadap 31 Menteri dan 26 Kementerian dalam Program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari Pertama Ahli Jemaah Menteri selepas pembentukan Kabinet, 27 Ogos lalu.

Soal selidik itu yang bermula semalam, dilaksanakan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Tamat