Sejumlah RM 210 Juta disediakan oleh pihak kerajaan dalam program Modenisasi Rantaian Nilai, Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata program di bawah Dana Jaminan Makanan itu bertujuan memudahkan akses kepada pembiayaan bagi usahawan dengan menawarkan kadar pembiayaan yang menarik dan berisiko rendah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM150 juta bagi Program Pemodenan Vesel Dan Mekanisasi Tangkapan serta RM60 juta bagi Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan diperuntukkan kerana kerajaan memahami akses pembiayaan mungkin menjadi antara faktor penghalang kepada usaha mengadaptasi teknologi dalam sektor itu.

“Menerusi pembiayaan ini, usahawan boleh mendapatkan peralatan dan teknologi berteraskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) seperti robotik, dron dan blockchain sehingga berjumlah RM1 juta pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun bagi tempoh sehingga 10 tahun.

“Dari sudut Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan, ia turut diperluaskan daripada Vesel Zon A dan Zon B kepada Zon C dan Zon C2 untuk pemain industri menaik taraf dan memodenkan vesel dari aspek keselamatan serta peningkatan kualiti hasil tangkapan.

“Secara tidak langsung, ia dapat menarik minat warga tempatan terutamanya golongan belia menceburkan diri dalam sektor perikanan tangkapan seterusnya mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing,” katanya ketika merasmikan Majlis Mempromosikan Dana Modenisasi Rantaian Nilai, Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang mengenal pasti pertanian pintar sebagai satu aktiviti strategik dan berimpak tinggi yang dapat menjana semula pertumbuhan ekonomi negara.

“Sektor agromakanan adalah sektor yang dapat mengekalkan daya tahan ketika berdepan beberapa krisis dunia di mana ia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 2.3 peratus pada tahun lalu, manakala sumbangan agromakanan kepada KDNK pertanian juga meningkat daripada RM44.2 bilion pada tahun 2015 kepada RM51.3 bilion pada tahun 2020.

“Jadi saya yakin apabila penggunaan teknologi diaplikasikan, ia akan membawa manfaat besar kepada sektor agromakanan dan kementerian akan terus komited dalam mendukung aspirasi pemodenan sektor berkenaan bagi peningkatan produktiviti dan mengukuhkan tahap keselamatan makanan negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian sedang mengadakan perbincangan mengenai insurans pertanian kepada pemain industri yang terjejas akibat musim tengkujuh.

“Pelan pembangunan insurans itu sedang diusahakan dan ia mungkin akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat untuk manfaat semua pemain industri di negara ini,” katanya.

Tamat