PAS yang tidak pernah bersetuju dengan penjualan arak secara terbuka kini dilihat membuahkan hasil apabila larangan minuman keras berkenaan di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditangguhkan selama sebulan, mula dikuatkuasakan hari ini.

Bagaimanapun, penjualan bir oleh premis terbabit masih dibenarkan bermula jam 7 pagi hingga 9 malam sahaja, sebagaimana terkandung dalam syarat baharu untuk permohonan Lesen Minuman Keras (LMK).

Namun premis terbabit perlu menyediakan ruang jualan atau pameran khas bagi bir yang berasingan daripada minuman lain, mengunci ruang jualan atau pameran selepas tamat waktu operasi penjualan bir, manakala had umur pembeli mesti 21 tahun ke atas.

DBKL dalam kenyataannya, berkata penguatkuasaan Garis Panduan Ke Atas Larangan Penjualan Minuman Keras sepatutnya dimulakan pada 1 Oktober lalu, namun ditangguhkan selama sebulan sehingga semalam.

Katanya, sepanjang tempoh penangguhan itu, DBKL mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti persatuan pengilang, pembotol dan peruncit, majlis perwakilan penduduk serta Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kesemua pihak berkaitan telah menyuarakan pandangan serta keprihatinan masing-masing terhadap perkara ini.

“Selepas mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat, DBKL mengambil pendekatan memperkemas dan memperhalusi Garis Panduan sedia ada.

“Garis Panduan dan Syarat-Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang baharu ini berkuat kuasa mulai 1 November 2021 dan ia mesti dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat,” katanya.

Tamat