Tiada siapa sangka, ketum yang berada di bawah akta racun itu, kini menjadi ‘mainan’ harian seorang pensyarah dalam bidang farmakologi Prof Madya Dr Zurina Hassan.

Lebih membanggakan kajian beliau terhadap tumbuhan berkenaan turut mendapat pengiktirafan antarabangsa Georg Forster daripada Yayasan Alexander Von Humbolt, Jerman pada 4 Ogos lalu.

Dr Zurina berkata, tujuan beliau adalah bagi membuktikan pengkaji tempatan juga mempunyai potensi yang sama dengan penyelidik barat dan ramai lagi penyelidik tempatan yang sudah menempa nama di pentas antarabangsa.

“Saya berhasrat untuk meluaskan lagi skop bidang kajian ketum ini dan tidak hanya kepada bidang ketagihan dadah saja, malah kepada penyakit neurodegeneratif.”

“Untuk kajian ketum, saya bercadang mengenalpasti dos yang selamat digunakan dan tidak memudaratkan yang boleh mengurangkan kesan gejala tarikan atau withdrawal effect kepada orang yang bergantung kepada dadah opioid dan methamphetamine,” katanya.

Dalam usaha mengembangkan kajian beliau penyelidik di Pusat Penyelidikan Dadah Universiti Sains Malaysia (USM) ini turut diberikan dana berjumlah kira-kira RM294,000 bagi menyambung penyelidikannya di Jerman.

“Selain kajian ketum, saya memang bercadang untuk meluaskan skop kajian bukan sahaja dalam bidang ketagihan dadah, malah penyakit neurodegeneratif.

“Antara penyakit neurodegeneratif ini adalah seperti penyakit Alzheimer dan dementia yang boleh menyebabkan masalah kognitif membabitkan memori dan pembelajaran,” katanya.

Beliau bercadang mengkaji secara terperinci dalam patofisiologi penyakit ini dan mencari perubatan daripada sumber semula jadi sebagai penambah ingatan atau smart drug.

Ketika ditanya berhubung halangan utama sebagai pengkaji tempatan, Dr Zurina berkata, wujud persepsi yang sangat berat sebelah dalam kalangan penyelidik barat berhubung tanggapan terhadap Muslim dan wanita berhijab.

“Banyak pihak di negara barat sangat berat sebelah dan bersifat perkauman terutama daripada segi penerbitan jurnal di peringkat antarabangsa.

“Saya bersyukur kerana mempunyai kolaborasi yang sangat rapat dan memahami keadaan berkenaan bersama dibantu beberapa rakan kolaborasi di negara luar,” katanya.

Dr Zurina berkata, cetusan idea untuk melakukan kajian mendalam terhadap ketum ini berlaku kerana pembabitannya bersama Program Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan sekitar 10 tahun lalu.

“Insya-Allah saya akan terus giat berusaha untuk meluaskan lagi skop kajian termasuk bidang lain yang berkaitan.

“Pencapaian ini juga adalah bukti bahawa pengkaji tempatan mempunyai kepakaran yang sama dengan penyelidik barat dan saya berharap lebih ramai lagi penyelidik yang terus menempa nama di pentas dunia,” katanya.

Tamat