Dijangka lebih RM 5 Bilion akan dilaburkan oleh pelabur serta 1,600 peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan di Kedah dengan nilai pendapatan yang tinggi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelaksanaan Kedah Rubber City melalui kerjasama antara Hong Seng Industries dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan memberikan landskap baru buat negeri ini.

Bagi beliau, pembangunan itu bukan sahaja memberi wajah baharu kepada landskap perindustrian sedia ada di negeri Kedah, malah akan menjana peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi kepada rakyat negeri itu.

“Saya amat optimistik bahawa projek pembangunan berimpak tinggi strategik yang dilaksanakan oleh NCIA ini akan dapat menarik pelabur dari dalam dan luar negara berdasarkan potensi pelaburan jangka panjang dan membawa banyak manfaat kepada ekonomi tempatan,” ujarnya pada Majlis Pecah Tanah Hong Seng Industries Sdn. Bhd di KRC yang berlangsung di Zenith Hotel, Putrajaya, semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan, Dato’ Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Jamil Rakon, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebalsingam Issace John, Pengerusi Bukan Eksekutif Kumpulan Hong Seng, Dato’ Seri Chen Chow Min dan Pengarah Urusan Kumpulan Hong Seng, Dato’ Seri Teoh Hai Hin.

Sanusi berkata, dengan kerjasama itu universiti-universiti tempatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) juga berpeluang menceburi dalam industri dan penerokaan teknologi khususnya dalam bidang bahan kimia termaju.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri memberi komitmen dan sokongan bagi memastikan projek-projek itu dilaksanakan selancar mungkin dalam menjana transformasi Negeri Kedah menjadi sebuah negeri yang mantap dan maju dalam masa terdekat selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035.

Tamat