Gagasan Keluarga Malaysia ialah penyelesaian kepada isu masyarakat majmuk yang terbentuk bagi mewujudkan model perpaduan umat daripada pelbagai agama dan bangsa yang wajib dipertahankan. Hal ini menepati Islam sebagai agama negara yang ditanam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, pegangan agama Islam yang masih kemas dalam jiwa penganut Islam Melayu menjadikan mereka menerima kewujudan pelbagai bangsa dan agama yang telah dibawa oleh penjajah. Namun, atas semangat persaudaraan kemanusiaan sejagat yang dibawa oleh Islam, menjadikan mereka boleh berada dalam kedamaian dan keamanan.

Menurutnya, walaupun penjajah berhasrat untuk mengadudombakan masyarakat majmuk demi agenda mereka, namun persefahaman politik dan masyarakat yang menggubal Perlembagaan Persekutuan menjadi asas masyarakat majmuk yang berkeluarga berjaya diterapkan. Sehingga hal tersebut telah mewujudkan keamanan di negara ini dan tiada pertelingkahan yang tajam sepertimana di negara lain.

“Bandingkanlah bagaimana kedudukan umat Islam di negara lain dan penindasan terhadap minoriti Muslim di tengah masyarakat bukan Islam.

“Manusia itu tidak mampu disatupadukan dengan pendekatan kebendaan sahaja tanpa adanya ikatan akal dan roh yang menjadi komponen kejadian mereka. Hanya ajaran Islam yang sempurna mampu mengisi segala keperluan fitrah manusia.” ujar beliau dalam satu hantaran Facebook miliknya hari ini

Beliau berkata, masyarakat majmuk merupakan tujuan mesej Islam dinyatakan bagi membuktikan keadilannya kepada semua dan rahmat Allah SWT kepada seluruh alam, suatu perkara yang gagal dibuktikan oleh ajaran lain. Dengan syarat Islam hendaklah dilaksanakan dengan sempurna. Inilah Islam yang dibawa ke sini sebelum kedatangan penjajah.