POKOK SENA – Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di sini, termasuk Bukit Pinang dilanda banjir.

Prihatin dengan nasib penduduk, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kedah tampil menyalurkan bantuan untuk mengurangkan beban yang dihadapi mangsa.

Pengarah YADIM Kedah, Ustaz Mohd Aizat Zakaria, telah menyampaikan 30 kotak kit sumbangan Musa’adah YADIM pada 2 November di Kampung Alor Keladi di sini.

Program ini mendapat kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang.

Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Firdaus Salleh, Setiausaha Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bukit Pinang, Mohamad Ismail Othman, Pengerusi Sukarelawan YADIM Pokok Sena, Ustaz Ahmad Hammadah Mohd Shauqi dan Setiausaha Skuad Prihatin Kedah, Wan Amirul Asyraf Wan Kamaruzzaman.