Kini, kerajaan perlu memberi peluang kepada kemasukan pelancong asing yang dilihat mampu merancakkan kembali ekonomi negara selepas pasca pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kita serta negara memerlukan kaedah yang lebih agresif dalam ekonomi terutama sekali selepas mencapai tahap vaksinasi lebih daripada 95 peratus.

“Kebanyakan negara telah bergerak ke arah itu, kita lihat Turki sebagai contoh, juga Arab Saudi membuka sempadan untuk jemaah datang mengerjakan umrah, UK (United Kingdom) dan negara Eropah membuka sempadan negara mereka untuk menyasarkan pelancongan pada musim sejuk, bererti mereka melihat peluang kedatangan pelancong dengan suatu program serta pemantauan yang ketat dan mereka berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya beliau berkata, negara pada ketika ini tidak sepatutnya hanya bergantung dengan putaran ekonomi yang ada semata-mata iaitu kepada penjawat awam sebagai suntikan perbelanjaan.

Katanya, kebergantungan itu nyata tidak memadai dan negara memerlukan asas baharu bagi menyokong kebangkitan ekonomi negara ketika ini.

Katanya lagi, negara kini kembali kepada landasan pemulihan ekonomi terutama selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), baru-baru ini.

“Walaupun pertumbuhan ekonomi pada tahun lepas menguncup sehingga 5.6 peratus, namun kita berjaya bangkit sehingga mencapai pertumbuhan positif 7.1 peratus pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan sedang menuju ke arah hasrat membuka pintu sempadan bagi menerima pelancong asing untuk merancakkan lagi ekonomi negara dengan pengawalan yang ketat.

Tamat