Teka teki lambang yang digunakan PAS bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akhirnya terjawab, dengan parti itu semalam memutuskan untuk bertanding atas tiket dan logo Perikatan Nasional (PN).

Keputusan itu juga menyaksikan buat kali kedua PAS yang ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan didaftarkan sebagai parti politik pada 31 Mei 1955, bertanding dalam proses demokrasi negara tanpa menggunakan lambang sendiri, meskipun telah menyertai pelbagai gabungan politik antaranya Pakatan Rakyat, Barisan Alternatif dan Angkatan Perpaduan Ummah, dalam pilihan raya sebelum ini.

Kali pertama PAS tidak menggunakan lambangnya adalah pada Pilihan Raya Umum keempat (PRU4) pada 1974 dan bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN), sebelum parti Islam itu meninggalkan BN pada 1977 dan bertanding sebagai pembangkang pada Pilihan Raya Umum 5 yang diadakan pada 1978.

Pertembungan tiga penjuru membabitkan BN, PN dan Pakatan Harapan (PH), bukanlah perkara yang mengejutkan bahkan sudah dijangka ramai pihak sejak awal lagi, susulan kegagalan mencapai kata sepakat antara BN dan PN.

Namun di sebalik pertembungan itu, apa yang menarik diperhatikan adalah penentuan di 22 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu, yang dijangka sengit oleh pemerhati politik.

UMNO pada PRN Melaka ini yakin mampu mempertahankan 13 kerusi DUN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, dan menyasarkan dua lagi kerusi tambahan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah, namun dalam landskap politik semasa adalah sukar untuk menyaksikan sebuah parti itu menjadi parti dominan.

Majoriti mudah bagi membentuk kerajaan  adalah 15 kerusi dan BN pada PRU14 menang di  kerusi DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

Malah terdapat juga cakap-cakap politik kononnya PAS akan bertanding di enam kerusi, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lapan kerusi dan keadaan ini mungkin telah membawa kepada kegagalan mencari titik temu, membabitkan BN dan PN.

Meskipun ada pihak meramalkan bahawa bahawa kerjasama PAS dengan Bersatu akan menyebabkan kedua-dua parti itu kecundang, namun tindakan PAS untuk menggunakan lambang PN, seolah-olah memberi isyarat bahawa terdapat formula kebolehmenangan ditemui.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata keputusan PAS itu mungkin didorong dengan kelebihan bertanding lebih banyak kerusi, berbanding pakatan bersama UMNO.

“Walaupun matlamat kemenangan adalah agenda utama, namun menyedari pengaruh mereka kurang berbanding UMNO dan PH, saya lebih melihat ia sebagai satu cara untuk menguji kekuatan, dan satu peluang pemasaran politik yang sukar untuk dilepaskan oleh PAS.

“Melihat kepada trend semasa, pertembungan tiga penjuru itu tidak dapat dielakkan namun meskipun PH dilihat berpeluang pada PRN kali ini, harus diingat bahawa pakatan itu juga mempunyai masalah dari segi menetapkan siapa bakal ketua menteri dan pada masa yang sama, isu penerimaan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang melompat keluar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dengan keputusan PAS itu, Che Hamdan berkata Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori PAS dan UMNO yang sebelum ini menyaksikan pelbagai kejayaan ditempa dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil semakin goyah, namun keadaan itu boleh berubah bergantung kepada keputusan PRN berkenaan.

“PAS dan UMNO mungkin akan menguatkan MN apabila mereka menyedari bahawa untuk pilihan raya umum akan datang, mereka tiada pilihan lain (untuk menang),” katanya.

Pada PRU14, PAS yang bertanding di 24 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN di Melaka dengan 10 calon hilang deposit, kalah di semua kerusi yang ditandingi berbanding PRU13, bertanding di 13 kerusi dan menang satu iaitu di DUN Bukit Baru.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia  Universiti Putra Malaysia (UPM)  Prof  Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain  menyifatkan keputusan PAS itu sebagai  kejutan memandangkan parti itu sangat sensitif dan tidak berkompromi soal identiti parti sebelum ini.

“Saya melihat ia langkah berani PAS untuk mengetepikan logo parti kerana selama ini PAS sangat pertahankan lambang yang menjadi identiti parti dan keputusan itu sudah pastinya telah mengambil kira pandangan akar umbi parti.

“Mungkin ini satu perjudian PAS untuk berhadapan dengan PRN Melaka dan sekiranya PAS tidak mendapat keuntungan atau kalah, mungkin PAS akan mengkajinya semula,” katanya dan tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan itu akan membawa kepada undi protes dalam kalangan penyokongnya seperti mana yang berlaku ketika kerjasama parti itu dengan DAP dan PKR sebelum ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam  memaklumkan, PAS akan menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka, selepas perkara itu diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam.

— BERNAMA