SUNGAI PETANI: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Kedah lumpuh selepas pengerusi badan perhubungan parti itu, Datuk Mustaffa Idrus mengumumkan peletakkan jawatan dan meninggalkan parti tersebut berkuat kuasa hari ini.

Turut meninggalkan parti itu secara beramai-ramai ialah Timbalan Pengerusi Putra negeri, Datuk Fadhil Hanafi serta beberapa ahli jawatan kuasa lain.

Menurut Mustaffa, keputusan itu dibuat selepas kecewa dengan tindakan Datuk Dr. Ibrahim Ali yang melabelkannya sebagai tidak mempunyai roh perjuangan apabila tidak akur dengan arahan presiden supaya meneruskan demonstrasi membantah jenama minuman keras Timah.

Katanya, demonstrasi itu dijadual untuk diadakan pada 26 Oktober lalu tetapi tidak mendapatkan kelulusan pihak polis.

“Sebagai individu yang menyayangi negara ini, saya takkan sekali-kali melanggar undang-undang ditetapkan.

“Disebabkan itu, saya dihina dan dilemparkan dengan bermacam tuduhan yang menyentuh maruah sebagai seorang ketua dan pengerusi Putra negeri.

“Dengan penghinaan itu, saya dan rakan-rakan lain mengambil keputusan untuk meninggalkan Putra,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Putra Kedah di sini hari ini.

Beliau menambah, katanya, langkah meninggalkan Putra itu diambil berikutan kegagalan presiden untuk menunjukkan peribadi mulia dan unggul.

“Sebagai seorang ketua, beliau sepatutnya memberi teladan yang baik,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, beliau tidak pernah memaksa pemimpin dan ahli-ahli parti itu keluar daripada parti tersebut. – UTUSAN ONLINE