KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menarik lebih banyak outlet pemasaran di bawah agensi itu menggunakan platform e-dagang, AgroBazaar Online.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata pembelian dalam talian kini menjadi trend dan usahawan perlu memanfaatkannya untuk penjimatan kos pengoperasian.

“Malah, penggunaan teknologi juga akan menyaksikan banyak penjimatan terutama kepada pengguna. Sebagai contoh, jika pengguna nak beli sayur, tidak lagi perlu keluar menggunakan kenderaan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada FAMA kerana berjaya memastikan pertanian dan teknologi yang digunakan di negara ini setanding teknologi semasa yang diguna pakai di negara-negara maju.

Sementara itu, Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata outlet tersebut perlu mendaftar di bawah AgroBazaar Online supaya sesi pembelian dan penghantaran boleh dibuat secara dalam talian.

“Outlet-outlet ini perlu ada nilai tambah, iaitu menerusi pemasaran secara online (dalam talian) yang kita gabungkan melalui AgroBazaar Online. Ia akan melaksanakan prapesanan dan penghantaran sekali.

“Kita kurangkan kos operasi, orang tidak perlu datang (ke kedai) tetapi  barang boleh dihantar ke rumah, kita boleh juga wujudkan peluang pekerjaan untuk penghantaran,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah program Virtual MAFI Masak Challenge (MMC) di Ibu Pejabat FAMA di sini, hari ini.

Sebanyak 21 orang pemenang menerima hadiah bagi program MMC daripada dua kategori iaitu kategori pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta dan Awam serta kategori berpasangan iaitu seorang kanak-kanak dan seorang dewasa.