Ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang kini kian rancak untuk menyaksikan pertembungan peperangan baharu politik semasa tanah air, Muktamar Pas kali ke-67 juga mungkin akan menyaksikan polemik dalaman berbeza berbanding edisi muktamar parti itu sebelum ini.

Saf kepimpinan Pas mungkin akan dituntut untuk menyatakan pendirian oleh akar umbi berkenaan status semasa kerjasama parti tersebut dalam Muafakat Nasional dan juga Perikatan Nasional.

Ia adalah agenda terbesar yang dikira memerlukan jalan penyelesaian yang ampuh dan segera untuk memastikan naratif dan masa depan parti itu.

Dilema yang dihadapi oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentunya tidak sedikit, ketika partinya memutuskan untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tetapi dalam masa yang sama Pas juga bertali arus menyatakan pendirian untuk terus menyokong dan istiqamah untuk tetap mendokong aspirasi Muafakat Nasional yang lebih awal dimeterai.

Malangnya, UMNO kini semakin jauh dengan PN dan semakin rancak mahu meleraikan ikatan tali bersama Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Pas Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi juga turut senada apabila memperkatakan agenda utama yang bakal diketengahkan dalam Muktamar yang bakal berlangsung pada 6 dan 7 November ini.

“Ya, pada jangkaan saya sudah tentunya akan terarah kepada soal berkaitan penegasan Pas mengenai penyatuan ummah. Ketika ini mungkin ramai yang mahu melihat barisan saf kepimpinan membuat pilihan dan pendirian.

“Kalau diikutkan daripada angin yang bertiup tentunya kita akan fahami bahawa secara dasarnya kita tetap mahukan penyatuan Melayu. Apapun sudah tentunya barisan saf kepimpinan akan mengguna dan mempertimbangkan sebaik mungkin dan saya yakin dengan kebijaksanaan yang ada dalam kalangan mereka untuk menetapkan pendirian,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pagi tadi.

Tambahnya lagi, walau apapun yang berlaku, kepimpinan dan ahli-ahli Pas katanya tidak akan terikut-ikut atau terpengaruh untuk mengikut telunjuk pihak tertentu sebaliknya beliau yakin keputusan yang bakal dibuat akan dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. – AWANI