KUALA TERENGGANU: Pas masih meneruskan usaha untuk mendamaikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Isnin ini. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, hingga kini rundingan mengenainya masih berlangsung bagi mengelak pertembungan tiga penjuru antara tiga parti utama kerajaan iaitu UMNO, Pas dan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, sekiranya persefahaman itu dicapai, gabungan BN dan PN dijangka mampu meraih kejayaan lebih dua pertiga dalam PRN Melaka.

“Usaha (perbincangan) sedang dijalankan untuk mewujudkan keharmonian antara ketiga-tiga parti utama itu, tetapi saya tidak boleh umum lagi sebab belum ada ketetapan muktamad.

“Dalam politik pilihan raya, setengah jam sebelum penamaan calon ditutup pun kita masih boleh berunding lagi. Insya-Allah kita yakin dan optimis dapat mencapai persefahaman dengan parti-parti dalam kerajaan,” katanya. dalam sidang akhbar mengenai Muktamar Pas Ke-67 di Duyung Marina Resort, di sini hari ini. 

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi mesyuarat Jawatankuasa parti itu pada Isnin lalu meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka, 20 November ini.

Sementara itu, Takiyuddin mengulangi pendirian yang Pas sangat bertolerasi di samping mengamalkan setiakawan dengan sekutunya dalam soal pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam PRN Melaka.

“Di Melaka ada 28 kerusi DUN dan kalau dibahagi antara tiga parti, setiap daripadanya mendapat 10 kerusi, sekiranya ada muafakat. Kita hanya memerlukan 19 kerusi sahaja untuk memenangi dua pertiga,” katanya. – UTUSAN ONLINE