KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka diadakan awal Disember ini berdasarkan makluman pembatalan darurat oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata berdasarkan makluman pembatalan darurat itu, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bermula dari tarikh pembatalan darurat 3 November lalu.

Katanya, jika diambil kira pembatalan pada 3 November, bermakna tempoh 60 hari dari tarikh itu adalah dalam tempoh November hingga 3 Januari tahun depan.

“PRN Swak mungkin perlu diadakan segera bagi mengelakkan musim hujan cuaca kurang baik. Pengundian membabitkan kawasan pedalaman yang memerlukan penggunaan helikopter, jalan darat dan pengangkutan melalui sungai, maka faktor cuaca amat perlu diambil perhatian.

“Mungkin waktu pengundian di kawasan pedalaman perlu dipinda sikit atas faktor cuaca, jika terpaksa. Itu juga di bawah kuasa SPR,” katanya kepada BH.

SPR hari ini memaklumkan, akan mengadakan mesyuarat khas dalam waktu terdekat selepas menerima pemakluman pembatalan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

SPR memaklumkan, berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

Di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

Wan Ahmad berkata, SPR sudah bersedia dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk melaksanakan PRN dalam waktu terdekat.

“Persiapan PRN Sarawak tentunya sudah lama di buat oleh SPR melalui Pejabat Pilihan Negeri di Kuching.

“Kebiasaannya, untuk PRN Sarawak, persiapan lojistik, penentuan pusat mengundi, lantikan dan latihan petugas sudah lama dibuat kerana DUN sudah lama terbubar.

“Yang perlu dimuktamadkan sekarang, bila isyarat diterima daripada kerajaan adalah untuk SPR menetapkan tempahan logistik pengangkutan seperti jumlah helikopter, kenderaan darat (pacuan empat roda), bot pengangkutan sungai dan penentuan Daftar Pemilih yang akan digunakan,” katanya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan pengalamannya, latihan ulangan kepada pegawai dan petugas di pusat mengundi boleh dibuat dan diuruskan pada bila-bila masa, secara serentak di seluruh negeri Sarawak.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, pegawai dari ibu pejabat dan dari negeri lain juga boleh dikerahkan ke Sarawak untuk membantu Pejabat Pilihan Raya negeri di Kuching, bagi melicinkan dan memastikan PRN berjalan lancar dan berjaya.

Katanya, agensi lain yang membantu SPR seperti polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga sudah bersedia menghadapi PRN itu.

Ditanya cadangan supaya diperkenalkan undi pos untuk pengundi yang berada di Semenanjung dan di kawasan pedalaman, katanya, SPR boleh berbuat demikian tanpa memerlukan pindaan peruntukan atau kelulusan Parlimen.

“Tapi jika PRN akan diadakan dalam masa 60 hari, saya rasa Daftar Pemilih terkini akan digunakan. Agak sukar untuk SPR kenal pasti alamat terkini yang betul pengundi rakyat Sarawak yang berada di Semenanjung atau di Sabah…masa tidak mengizinkan,” katanya.

Tamat