SHAH ALAM – Ura-ura Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kembali hangat diperkatakan setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu berkenan menamatkan Proklamasi Darurat di negeri itu.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Istana Negara, Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka Baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya, Seri Paduka Baginda memberi perkenan selepas menerima sembah nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu dan Peguam Negara serta ketua agensi kerajaan pada Selasa berhubung perkara itu.

Perisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022 sekali gus menyebabkan PRN ke-12 (PRN12) Sarawak terpaksa ditangguhkan daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Untuk makluman, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak.

Azuan Effendy berkata, Seri Paduka menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya PRN12 Sarawak diadakan.

Perkenan Yang di-Pertuan Agong terhadap penamatan Proklamasi Darurat merupakan satu keputusan yang sukar dan rumit berikutan negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19.

Apatah lagi, risiko penularan wabak juga masih ditahap yang membimbangkan walaupun telah banyak kelonggaran yang dibenarkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, ia diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan negeri yang baharu.

Tambah beliau, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan serta sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.

Susulan itu, ramai pakar politik kini mula menzahirkan pandangan dan jangkaan mereka bahawa PRN12 Sarawak bakal diadakan hujung tahun iaitu pada hujung November atau Disember ini.

Antaranya, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir menjangkakan PRN Sarawak akan diadakan pada 27 November atau 4 Disember depan.

Katanya, mengikut percaturan, persiapan untuk mengadakan PRN mengambil masa sekitar 24 atau 27 hari maka berkemungkinan PRN bakal dilaksanakan pada tarikh tersebut.

Sementara itu, mengulas kebimbangan sekiranya berlakunya peningkatan kes Covid-19 semasa pilihan raya itu kelak, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Annuar Rapaee berkata, aktiviti kempen harus diberikan tumpuan yang kritikal kerana penularan boleh berlaku dalam tempoh tersebut.

Annuar menambah, penularan akan dapat dielakkan sekiranya tiada rapat umum dan buat masa ini, hanya 100 orang sahaja yang dibenarkan untuk menghadiri mana-mana perhimpunan, tidak ada isu bagi pilihan raya itu sendiri.

Katanya, ketika masih dalam tempoh pandemik, dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan proses mengundi teratur tiada sebab penularan Covid-19 tidak dapat dikawal. – SINAR