Tampak seakan filem television, namun itulah hakikat sebenar pengorbanan seorang anggota polis terpaksa menepis libasan pisau pesakit mental ekoran tindakannya mengamuk dan melibaskan pisau ke arah orang awam yang mahu menunaikan solat di surau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) petang semalam.

Lelaki berusia 47 tahun terbabit turut mencederakan seorang anggota polis menggunakan pisau ketika cuba ditenangkan dalam kejadian pukul 2.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, sepasukan anggota dan pegawai dikerah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, suspek didapati sedang memegang sebilah pisau serta berada dalam keadaan agresif dan cuba ditenangkan anggota polis bantuan KKIA. Bagaimanapun, salah seorang anggota mengalami kecederaan luka di jari tangan akibat terkena pisau suspek ketika dalam usaha menenangkan dan menangkap suspek yang bertindak agresif.

“Pasukan polis kemudiannya terpaksa bertindak pantas untuk menahan suspek bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd. Zaidi, pemeriksaan awal mendapati suspek membawa sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 21 sentimeter bersama sekeping kad orang kurang upaya (OKU) dan kad temujanji Hospital Bukit Padang.

“Suspek bertindak agresif dipercayai kerana tidak memakan ubat atas masalah mental yang dihidapinya. Tidak ada sebarang kecederaan yang berlaku kepada orang awam manakala anggota polis yang cedera dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Medisinar, KKIA.

“Anggota polis terbabit terpaksa menerima dua jahitan di tangan namun dilaporkan dalam keadaan stabil manakala suspek turut mengalami sedikit luka di bahagian dagu dan dibawa ke balai polis KKIA untuk tindakan lanjut. Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tamat