KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown untuk tujuan siasatan berkenaan pertuduhan kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan pada Jumaat, ia berikutan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap wanita warga United Kingdom itu oleh Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September lalu berikutan kegagalan beliau hadir untuk pertuduhan kes fitnah tersebut.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama (Clare Brown @ Clare Rewcastle Brown) diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Supt. Junainah M. Kasbolah di talian 019-7051222 atau Pegawai Penyiasat Kes, Asp Mohd Khairul Ridzuan Khiruddin di talian 017-6404440.

“Penama dikehendaki bersabit waran tangkap eTA3507737 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September 2021,” kata kenyataan tersebut.

Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’ dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.