Dalam usaha memastikan Islam berada di jajaran hadapan, PAS harus sama memimpin bagi menyelamatkan negara bukan hanya sekadar ‘pak turut’.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS perlu lebih kedepan, menjadi pembuat keputusan, mahupun dominan sehingga berjaya menarik sokongan rakyat bagi menyelamatkan negara bersama Islam.

Ini kerana Muafakat Nasional (MN) baru ditubuhkan mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan serta mengikut piagam yang terbuka bukan tertutup.

“Kita berjaya menubuhkan PN yang lebih terbuka dan kuat, sehingga berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur. Maka, sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan.

“Kemunculan Muafakat Nasional pada mulanya hanya dianggotai oleh PAS dan Umno sahaja. Kemudian kedua-dua buah parti tersebut bersetuju untuk menjemput Bersatu, sekali gus menjadi asas permulaan kepada konsep Islam Memimpin dan Perpaduan Ummah yang lebih kukuh.

“Seterusnya ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan yang lebih majmuk iaitu PN bersama parti-parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 yang bertemakan Islam Menyatukan UMmah di Duyong Marina Resort, di sini, tadi.

Dalam perkembangan sama katanya, gabungan ini juga menerima asas Perlembagaan Persekutuan dan terbuka penyertaannya kepada semua parti yang tidak menyeleweng daripada Perlembagaan.

“PAS jangan dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dalam lingkungan sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air,” katanya lagi.

Oleh itu, , PAS wajib berusaha sekurang-kurangnya menjadi penentu dalam keputusan PRU15 berasaskan jumlah kerusi yang menang, bukannya banyak jumlah kerusi yang bertanding tanpa kerusi yang dimenangi usaha menentukan menjadi pembuat kata putus mewakili umat Islam.

“Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulamak dan PAS Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya.

Dan segala kemungkinan selepas pilihan raya, demi memastikan Islam terus memimpin,” katanya.

Tamat