Hampir semua tahu, Israel negara pengecut sekali lagi menggunakan kekerasan apabila sengaja menembak mati seorang remaja 13 tahun di perut.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin mangsa Mohammed Daadas, 13, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital selepas cedera parah akibat ditembak di perut ketika mahu menegakkan hak mereka mengelakkan rumah mereka dirampas kaum dilaknat itu di kampung Deir al-Hatab, timur Nablus.

Lima lagi rakyat Palestin cedera semalam dalam pertempuran di Beita dan Beita Dajan, menurut agensi berita Palestin, Wafa.

Penduduk Beita bergelut sejak berbulan lalu untuk mengusir peneroka Israel dan tentera dari puncak bukit.

Pertempuran berlaku beberapa hari selepas Israel mengumumkan akan membangunkan 3,000 lagi rumah untuk peneroka Yahudi di Tebing Barat, walaupun mendapat kritikan antarabangsa.

Israel juga merancang membina kira-kira 1,300 rumah untuk rakyat Palestin di Tebing Barat, tetapi pengkritik melihat langkah itu sebagai percubaan untuk mengalih kecaman global terhadap pembinaan penempatan.

Bagi rakyat Palestin, Tebing Barat adalah sebahagian daripada negara masa depan, manakala bagi warga Israel yang tegar termasuk Perdana Menteri Naftali Bennett, ia adalah nadi sejarah Yahudi.

Israel merampas Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis dalam perang Asia Barat 1967.

Ratusan ribu rakyat Israel berpindah ke penempatan yang kebanyakan masyarakat antarabangsa menganggap sebagai haram.

Dianggarkan kira 475,000 peneroka Israel kini tinggal dalam komuniti berkubu di Tebing Barat, yang menempatkan lebih 2.8 juta penduduk Palestin.

Walaupun Bennett adalah bekas pemimpin dalam gerakan penempatan, gabungannya termasuk penggubal undang-undang antipendudukan.

Semalam, kerajaan meraikan kelulusan Parlimen terhadap Belanjawan 2021 dan 2022, membawa kestabilan kepada gabungan yang goyah selepas pergolakan politik yang mendorong empat pilihan raya dalam tempoh dua tahun.

Bagi rakyat Palestin, mereka mempunyai sedikit kepercayaan terhadap kepemimpinan mereka sendiri.

Tinjauan bulan lalu oleh Pusat Penyelidikan Dasar dan Tinjauan Palestin mendapati 80 peratus responden mahu Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmud Abbas meletakkan jawatan.