Sebelum ini Parti Ikatan Demokratik Malaysia ( MUDA) yang bertekad bertanding di PRN Melaka, secara tiba-tiba menarik diri tidak jadi bertanding hanya disebabkan ‘katak’ .

Desas-desus itu, kini dipastikan sendiri selepas Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan itu diambil setelah pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan untuk menyenaraikan calon yang menyebabkan jatuhnya kerajaan negeri Melaka semasa musim pandemik.

Menurut, Muda menolak politik ‘katak’, tidak bermaruah dan tidak berprinsip yang akhirnya menyebabkan rakyat susah dan membazirkan lebih RM42 juta untuk tujuan perbelanjaan pilihan raya khususnya di tengah-tengah pandemik.

“Dengan itu Muda telah membuat keputusan untuk tidak bersama PH yang mengangkat ‘katak-katak’ politik yang tidak bermaruah dan tidak berprinsip dalam PRN ini.

“Dalam bab ini, walaupun kita bersama dalam blok pembangkang tetapi politik nilai dan bermaruah yang harus diangkat bukan politik kerusi atau kuasa yang tidak ada batasnya hingga akhirnya menyebabkan rakyat susah.

“Muda mengambil pendirian berkecuali untuk tidak bertanding pada PRN ini dan untuk fokus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta memperkasakan politik khidmat dan politik dasar di Parlimen dan luar Parlimen,” katanya pada Sabtu.

Syed Saddiq berkata, rundingan dengan PH telah bermula sejak minggu lepas yang mana banyak perkara yang dibincangkan khususnya untuk memastikan bahawa pembangkang berpadu dan bersatu sebagaimana niat Muda itu sendiri.

“Sejujurnya kita tidak jangkakan keutamaan diberikan kepada ‘katak-katak’ ini kerana kalau kita lihat mereka melompat bukan kerana nilai atau dasar tetapi kerana politik kuasa.

“Mereka hanya setuju untuk lompat parti apabila dijanjikan jawatan ketua menteri. Jika jawatan tersebut tiada, mereka tidak akan melompat,” jelas beliau.

Tamat