Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat daripada UMNO kini sah menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH), masing-masing PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam usaha meneruskan karier politiknya.

Bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau dan bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, masing-masing menyertai satu daripada parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan parti yang disertainya sama ada PKR atau AMANAH manakala Idris gagal dihubungi.

Nor Azman, 57, berkata Majlis Presiden PH sudah mengesahkan penerimaan beliau dan Idris, 55, ke dalam parti komponen PH dan pengumuman mengenai kerusi yang bakal ditandingi mereka akan dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

“Tunggu pengumuman Datuk Seri Anwar esok,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar pada sidang medianya malam ini yang antara lain mengenai PKR menerima keahlian seorang bekas ADUN yang dipecat UMNO dan AMANAH menerima keahlian yang seorang lagi.

Anwar dipetik berkata, penerimaan kedua-dua bekas ADUN terbabit disempurnakan selepas perbincangan panjang lebar dalam Majlis Presiden PH.

Katanya, empat bekas ADUN yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu bertujuan mengembalikan pentadbiran Melaka kepada PH.

Selain Idris dan Nor Azman, turut menarik sokongan itu ialah bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Bagaimanapun, Majlis Presiden PH enggan menerima keahlian Norhizam ke dalam mana-mana parti komponen PH manakala nasib Noor Effandi tidak diketahui setakat ini.

Keempat-empat bekas ADUN terbabit dilaporkan sudah beberapa kali bertemu Anwar selepas mengumumkan penarikan sokongan kepada Sulaiman.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Nor Azman yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN), menewaskan Juhari Osman dari AMANAH (bertanding dengan menggunakan logo PKR) dan Abdul Halim Maidin (PAS) dengan majoriti 772 undi.

Idris yang ketika itu mewakili BN menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR) dengan majoriti 2,229 undi.

Anwar dilaporkan mengumumkan jumlah kerusi yang ditandingi PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ialah, DAP (8), AMANAH (9) dan PKR (11).

Menurut pembahagian kerusi itu, Pantai Kundor diberikan kepada AMANAH untuk ditandingi manakala Sungai Udang diberikan kepada PKR.

Tamat.