Walaupun ada berlaku pertembungan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional di Pilihan Raya Melaka, namun ianya tidak menjejaskan kerjasama keduanya selaku kerajaan memerintah di peringkat Persekutuan.

Perkara itu dijelaskan sendiri oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata biarpun ia perkara luar biasa, kerjasama terbabit adalah demi kestabilan negara.

“Saya rasa tidak akan ada masalah besar dan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat bekerjasama dengan semua anggota Kabinet beliau, tidak kira dari BN atau PN.

“Bagaimanapun, untuk PRN Melaka, keputusan sudah dibuat dan memandangkan setiap gabungan sudah memutuskan untuk bergerak secara sendiri, kami menghormati keputusan itu,” katanya selepas mengumumkan senarai calon PN dan penyerahan watikah di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, biarpun bakal berlaku pertembungan, ia memberi peluang kepada rakyat Melaka untuk membuat pilihan yang terbaik.

“Sekarang menjadi lebih jelas bahawa akan ada pertandingan mungkin tiga penjuru namun saya percaya pengundi Melaka amat mengetahui situasi politik masa ini.

“Mereka juga boleh melihat apa yang PN lakukan sepanjang saya menjadi Perdana Menteri. Jadi saya yakin mereka akan memberi sokongan kuat kepada PN,” katanya

Ditanya adakah PN akan mengambil langkah sama supaya calonnya menandatangani akuan bersumpah (SD) sama seperti dilakukan BN, Muhyiddin berkata, setakat ini tiada cadangan sedemikian.

“Kita yakin semua calon setia kepada parti masing-masing malah pimpinan parti dalam gabungan PN tahu bahawa setiap calon menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi,” katanya.