Kedudukan sebagai Ah Long yang sebelum ini sentiasa dibayangi jenayah gelap tidak menjamin dirinya selamat apabila seorang ah long turut ditetak di hadapan sebuah kopitiam di Bandar Baru Bukit Tinggi, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 12.34 tengah malam.

“Siasatan awal mendapati lelaki yang berumur 47 tahun itu datang ke kopitiam berkenaan pada 11.50 malam bersama dua anaknya yang berumur 10 dan 18 tahun.

“Ketika hendak membuka pintu kereta selepas selesai makan, dia dipercayai didatangi tiga lelaki bersenjatakan parang dengan dua daripadanya menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shamsul Amar lelaki terbabit melarikan diri ke arah celah kereta yang di parkir di kawasan tersebut sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya ketiga-tiga suspek pula melarikan diri menaiki sebuah kereta yang menunggu mereka di tepi jalan menghala ke arah Persiaran Batu Nilam, Klang.

“Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala usaha mengesan kesemua suspek sedang diteruskan,” katanya.