Susulan tidak berpuas hati akibat berselisih faham berkenaan pelanggaran tayar, sebuah aksi lagak filem Tamil berlaku apabila MPV miliknya ditendang dan cermin dipecahkan menggunakan batu bata oleh sekumpulan individu kira-kira jam 11.30.

Susulan kes itu, pihak polis menahan empat lelaki dan tiga wanita susulan kejadian merosakkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora di Felda Palong Tujuh di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan MPV miliknya ditendang dan cermin dipecahkan menggunakan batu bata oleh sekumpulan individu kira-kira jam 11.30.

Katanya rentetan itu, polis kemudian menahan tujuh suspek berusia usia 24 hingga 54 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu di sekitar Jempol, semalam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham berikutan mangsa terlanggar tayar motosikal seorang daripada suspek ketika berada di sebuah kuil di Ladang Geddes pada Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah, suspek membuat provokasi dengan mengekori dan kemudian bertindak menendang MPV dipandu mangsa.

Katanya, MPV itu kemudian terbabas dan melanggar sebuah motosikal dinaiki suspek dan kerana tidak berpuas hati, mereka bertindak memecahkan cermin kereta mangsa dengan batu bata.

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Polis juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42(1)(Memandu Secara Melulu dan Merbahaya ) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tamat