Calon termuda Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Leong Hui Ying, 29, menafikan tidak fasih berbahasa Melayu berikutan video tular ketika beliau ditemu ramah wartawan.

Hui Ying sebaliknya menjelaskan bahawa apa yang berlaku ketika sesi temu ramah itu hanya disebabkan salah faham.

Graduan pengkhususan dalam bidang media itu berkata, sebagai anak jati Melaka, sudah tentu beliau tahu berbahasa Melayu.

“Saya tahu bahasa Melayu, saya anak Melaka. Itu hanya gurauan, tak mengapa, apa pun orang boleh cakap,” katanya ketika menjelaskan perkara tersebut menerusi video berdurasi 57 saat pada Isnin.

Selain video tersebut, calon kerusi MCA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang itu turut membuat pengakuan bahawa beliau boleh berbahasa Melayu menerusi satu lagi video berdurasi 34 saat.

Sejak Ahad, tular video berdurasi 58 saat memaparkan beliau tidak dapat menjawab soalan wartawan Melaka Hari Ini yang menemuinya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara pada Sabtu lalu.

Malah, kedengaran Hui Ying melontarkan ayat berbahasa Cina yang bermaksud ‘saya tidak tahu’ bagi menjawab soalan wartawan tersebut.

Pada soalan berikutnya pula ketika ditanya bagaimana mahu bersaing dengan senior dalam politik, Hui Ying hanya memberikan jawapan ringkas dalam bahasa Inggeris yang bermaksud ‘saya akan cuba yang terbaik’. – SINAR