Itulah padahnya sekiranya memilih bukan orang tempatan, tidak fasih berbahasa tempatan, serta tidak memahami budaya dan norma masyarakat tempatan, perkara berkenaan kini dihadapi oleh Ahli Parlimen Kulai daripada DAP, Teo Nie Ching, apabila memuat naik frasa ”Lahabau Melaka, Jom Undi’.

Frasa kurang enak itu, diakui agak menyentuh hati penduduk tempatan apabila dilihat dimuat naik bingkai foto berkenaan di laman sosial.

Rata-rata netizen bakal mengundi agak terkejut dengan perkataan berkenaan seakan mendesak pengundi selain frasa berkenaan agak biadap untuk digunakan.

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘lahabau’ adalah istilah makian bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap dan haprak.

Lebih menghairankan Bekas Timbalan Menteri Pendidikan ini langsung tidak membuat sebarang kajian frasa kata untuk digunakan sekali gus menunjukkan keadaan dianya sendiri yang pernah terlibat dalam dunia pendidikan.

Nie Ching yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP, menyedari kesilapan itu selepas dikecam oleh netizen dan mengakui tidak mengetahui maksud sebenar perkataan itu.

“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.

“Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial.

“Saya cuma ingin berkempen melalui ‘frame’ (bingkai) percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan itu, katanya.

Tamat