Kuala Nerus: Dalam usaha memperkasakan sistem jabatan agama kerajaan sedang berusaha untuk menaikkan gred jawatan Pembantu Hal Ehwal Islam yang ditugaskan di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, terdapat seramai 2,124 pemegang jawatan itu yang diberi tanggungjawab melaksanakan pelbagai program keagamaan. Ini kerana setakat ini tangga gaji mereka berada antara Gred 19 serta Gred 29.

“Kita dalam usaha untuk menaikkan tangga gaji jawatan diseliakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu kepada Gred 41 dan 44,”

“Kita kerana kebanyakkan mereka, mempunyai lulusan ijazah, ada yang pulang dari Mesir, timur tengah, dan seharusnya dapat mengisi penjawat yang ada” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-67 sesi 2021/2023, di sini, hari ini.

Selain itu, Idris juga berharap meminta pengusaha pusat tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar dengan kerajaan bagi membolehkan penyaluran bantuan dibuat.

Katanya, kerajaan bersetuju memindahkan peruntukan daripada infrastruktur kepada operasi.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk inisiatif pendidikan bagi kerja penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok.

“Sehingga Ogos lalu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM60 juta untuk membantu 1,066 institusi pendidikan Islam, termasuk sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok bagi tujuan penambahbaikan dan kerja menaik taraf.

“Peruntukan bagi kerja penyelenggaraan kepada institusi pendidikan Islam sudah disalurkan, tetapi masih berbaki sebanyak RM40 juta,” katanya.

Tamat