Takkan pernah isu perpecahan apabila pertandingan tiga penjuru diantara UMNO, PAS, dan Bersatu ini kerana mahu mencari yang terbaik.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pertembungan tiga penjuru ini hanya sebagai pentas mencari yang terbaik, namun wadah perjuangan Melayu dan Islam tetap diteruskan.

“Pertandingan dalam PRN Melaka adalah untuk mengemukakan calon terbaik bagi mengemudi kerajaan Melaka. Ia hanya bagaikan pertandingan adik beradik bagi berlumba menawarkan kebajikan. Dalam masa yang sama PAS bersama dalam kerajaan Persekutuan menerusi payung Keluarga Malaysia pimpinan Dato’ Sri Ismail Sabri daripada UMNO.

“Justeru, ahli-ahli PAS dan UMNO jangan terpengaruh dengan media yang cuba melaga-lagakan antara PAS dan UMNO. Jangan diungkit cerita silam yang sememangnya mainan musuh untuk merungkai perpaduan.

“Kempen kita adalah kempen berhemah menjelaskan misi dan perancangan politik. Usah terlajak menyerang UMNO/BN, rakan kita dalam MN. Fokuskan peluru untuk menghadapi PH,” katanya melalui laman Facebook rasmi beliau tadi.

Menurutnya, perlu dijelaskan PAS adalah PAS bukannya Bersatu mahupun UMNO. Rujukan PAS semua ialah al-Quran dan al-Sunnah bukannya emosi mahu pun semata-mata semangat.

“Usah menari ikut tarian PH. Ramai yang sedang membisikkan permusuhan. Usah berdendang lagu dan lirik syaitan yang menyeru pada perbalahan dan pergaduhan. BPMS mesti kekal menjadi prinsip yang dipegang.

“Ini kerana Pertembungan yang lama memakan masa puluhan tahun antara 2 parti dapat diredakan menerusi MN sebagaimana Nabi SAW menyatukan Aus dan Khazraj. Itulah nikmat yang perlu disyukuri dan terus dibajai.

“Dengan MN, PAS melangkah ke hadapan mengajak Bersatu dan sebahagian PKR bersama dengan agenda penyatuan lalu akhirnya tumbanglah kerajaan PH dan naiklah kerajaan yang dinamakan PN hasil kesepakatan bersama pada Mac 2020. Itulah sejarah yang tidak boleh dipadamkan,” katanya.

Menurut Dr Khairuddin diharapkan pesanannya menjadi panduan kerana perpaduan ummah lebih mahal nilainya untuk dipertahankan.

Tamat