SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia untuk ‘bertempur’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun menyedari akan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru, termasuk bertemu dengan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PN sudah bersedia dengan tawaran-tawaran menarik untuk rakyat Melaka, termasuklah mewujudkan kerajaan yang stabil dan boleh berkhidmat kepada rakyat.

Bagaimanapun katanya, tawaran menarik atau manifesto itu akan diperincikan dalam pelancaran akujanji dan manifesto tidak lama lagi.

“Dari segi persediaan PRN, kita memang sudah bermula sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan jentera sudah bergerak. Ini termasuklah jentera penerangan yang kita sudah susun di setiap DUN di Melaka, semua ada wakil.

“Kita juga ada rumah penerangan dan pusat untuk proses kempen yang sudah berfungsi. Di peringkat PN sendiri, kita sudah bersedia dan berusaha agar mesej kempen itu sampai kepada pengundi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menjelaskan, calon-calon yang diumumkan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan hubungan antara parti-parti gabungan semakin kukuh.

Selain itu, pembahagian kerusi dan calon berjaya dirunding dengan cara yang harmoni, tiada sebarang protes dan pertelagahan.

Pada masa sama jelasnya, PN akan terus dengan agenda untuk mengajak kearah penubuhan kerajaan yang stabil dan menggalakkan perpaduan dalam kalangan parti-parti.

“Kita akan teruskan kempen yang sihat dan akan memastikan maklumat sampai kepada masyarakat, pengundi dan saya rasa calon-calon kita semua menawarkan keunikan masing-masing.

“Kita ada ramai calon wanita, calon muda dan majoriti calon adalah muka baharu yang ditawarkan dalam politik.

“Mereka tidak ada sejarah melakukan penyelewengan, tidak ada sejarah melakukan rasuah dan tidak ada salah laku memperkayakan diri sendiri. Jadi, kita tawarkan kerajaan berintegriti dan bersih kepada rakyat Melaka,” ujarnya.

Ditanya mengenai pertembungan dengan BN, Wan Saiful berkata, persoalan itu perlu dijawab oleh UMNO memandangkan mereka menolak perpaduan yang diseru.

“Ini mereka perlu jawab kepada rakyat negeri Melaka. Kenapa selepas mereka meruntuhkan kerajaan sendiri, UMNO bergaduh dengan UMNO untuk meruntuhkan kerajaan UMNO sehingga memaksa pilihan raya?

“Kenapa mereka tidak menyambut seruan kearah perpaduan? Ini adalah persoalan yang mereka perlu jawab dan biarlah rakyat Melaka tentukan, sama ada menerima mereka atau tidak.

“Bersedia atau tidak (pertembungan), yang jelasnya adalah kita tak meminta pilihan raya ini diadakan. Jadi, ini bukan pilihan raya yang kita nak berlaku tapi pilihan raya yang dipaksa ke atas kita, ke atas rakyat setelah berlaku pergaduhan dalaman UMNO,” ujar beliau.

PN akan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka dengan Bersatu sebanyak 15 kerusi, Pas lapan kerusi dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebanyak lima kerusi.

Sejumlah 43 peratus calon PN adalah berusia 40 tahun ke bawah, dengan sebahagian besar calon adalah golongan profesional dan berpendidikan tinggi. – sinar