MELAKA: Calon dibenarkan berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu ditetapkan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, calon perlu mendapatkan permit daripada polis dengan tempoh masa dan lokasi untuk berkempen tertakluk kepada permit diluluskan pihak berkuasa.

Beliau memberi contoh, lori dipasang pembesar suara yang melalui kawasan perumahan.

“Kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah. 

“Calon-calon yang bertanding masih tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Persekutuan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE