MELAKA, 8 Nov (Bernama) — Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 bermula hari ini, dengan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana norma baharu di

28 pusat penamaan yang dibuka pada pukul 9 pagi.

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup pada 10 pagi.

Proses berkenaan turut menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membendung penularan pandemikCOVID-19 dan ia perlulah dipatuhi parti-parti politik bertanding.

Tidak seperti sebelumnya, proses penamaan kali ini juga berlangsung dalam keadaan berbeza tanpa  perarakan penyokong-penyokong mengiringi calon dan membenarkan hanya calon, pencadang dan penyokong calon, atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka, dibenarkan masuk ke dalam pusat penamaan bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

SPR menetapkan  tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov  dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN  pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN,  memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

Berikut adalah perkembangan terkini PRN Melaka:

9.50 pagi: Setakat ini hanya tiga calon mewakili BN, PN dan PH yang menghantar borang pencalonan bagi DUN Lendu di Dewan Kompleks Japerun Lendu.

Pegawai Pengurus (RO) Dr Mohd Azam Ahmad (kiri) dan Petugas SPR sedang menyemak borang calon di Kompleks Komuniti Desa (KKD) bagi DUN Telok Mas.

9:46 pagi: Calon Bebas Abdul Hamid Mustapah selesai menyerahkan borang penamaan calon bagi DUN Bukit Katil di Dewan Tun Ali Bukit Katil.

9.35 pagi: Tiada individu, termasuk calon dan petugas di Dewan Kompleks Japerun Lendu yang ditempatkan di khemah bergejala mahupun khemah KKM setakat ini.

9.25 pagi: Empat calon PRN Melaka bagi DUN Sungai Udang selesai menghantar borang penamaan calon dan proses semakan sedang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya.

9:23 pagi: Hanya calon, penyokong dan pencadang dibenarkan masuk di pusat penamaan calon bagi DUN Bukit Katil di Dewan Tun Ali. Setiap individu perlu menjalani saringan suhu dan mengimbas kod QR sebelum memasuki dewan.

9.24 pagi: Suasana di pusat penamaan calon bagi DUN Lendu di Dewan Kompleks Japerun Lendu kelihatan tenang tanpa sebarang perarakan ketika calon tiba di sini.

9.20 pagi: Keadaan Pusat Penamaan Calon di Dewan Keris Laksamana Kompleks Penjara Sungai Udang terkawal dan hanya kelihatan calon, penyokong, pencadang dari setiap parti politik memasuki perkarangan Kompleks Penjara Sungai Udang

9:08 pagi: Calon PH Adly Zahari memulakan proses semakan dokumen untuk penyerahan borang penamaan calon di Dewan Tun Ali di Bukit Katil.

9.04 pagi: Calon dari BN Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad tiba di PPC Dewan Keris Laksamana Kompleks Penjara Sungai Udang

9.02 pagi: Calon BN Datuk Seri Sulaiman Md Ali bagi DUN Lendu tiba di pusat penamaan calon di Dewan Kompleks Japerun Lendu

9 pagi: Pegawai Pengurus (RO) Pusat Penamaan Calon DUN Asahan Luqmannulhakim Mohamad Idris membuat pengumuman calon boleh masuk ke dalam dewan untuk menghantar borang penamaan calon.

8.51 pagi: Kumpulan Ab Rauf masih berada kira-kira 20-meter dari pusat penamaan calon.

8.50 pagi: Calon PN DUN Tanjung Bidara Datuk Mas Ermieyati Samsudin tiba di Pusat Penamaan Calon Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara. Calon Bebas bagi DUN Telok Mas, Muhammad Ariff Adly Mohammad tiba di pusat penamaan calon di Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas.

8:48 pagi: Calon PN Muhammad Al Afiz Yahya bagi DUN Bukit Katil tiba di pusat penamaan calon di Dewan Tun Ali.

8:47 pagi: Calon PN bagi DUN Telok Mas Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen tiba di pusat penamaan calon di Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas.

8.46 pagi: Ab Rauf yang diiringi Penasihat BN Datuk Seri Najib Razak dan sekumpulan penyokong, berhenti kira-kira 20 meter dari pusat penamaan. Terdapat perbincangan antara kumpulan Ab Rauf dan polis.

8.45 pagi: Calon BN DUN Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka tiba di Pusat Penamaan Calon Dewanb Kompleks Japerun Tanjung Bidara.