Dalam usaha mengelakkan berlakunya kerosakan kepada sumber pembiakan ikan negara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menawarkan pilihan terbaik kepada nelayan pukat tunda untuk beralih dari tangkapan di zon B ke zon C.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menghentikan penggunaan peralatan tangkapan berkenaan menjelang tahun 2030.

“Kita dedahkan kepada mereka, latihan dan kemahiran pertanian jika tidak berminat untuk berpindah ke zon C. Ini termasuk perniagaan, pemasaran, akuakultur dan juga tanaman.

“Semua ini akan memberikan pendapatan yang lumayan kepada mereka, selain kita mengharapkan mereka boleh berpindah ke zon C kerana zon C memberikan pendapatan tangkapan lebih lumayan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, mengenai perancangan kerajaan terhadap 48,000 nelayan zon B dan ribuan kru yang terlibat dengan penutupan zon B.

Dr Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh, menjelaskan MAFI melalui Jabatan Pertanian dan Industri Makanan telah memperkenalkan penstrukturan semula pukat tunda zon B.

Beliau berkata, langkah yang bermula pada 2016 sehingga 2030 itu dibuat secara ‘soft landing’, membabitkan 48,000 vesel dan 2,013 nelayan yang beroperasi di zon B ketika ini.

“Pukat tunda merupakan peralatan menangkap ikan yang bersifat destruktif dan bukan selektif yang menyebabkan kerosakan ketara kepada sumber pembiakan ikan negara.

“Justeru kita mensasarkan sifar pukat tunda di zon B menjelang tahun 2030 dengan pengumuman Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi di bawah Dana Jaminan Makanan bernilai RM150 juta,” katanya.

Tamat