Satu video tular menunjukkan pelanggaran diantara kereta Perodua Alza sedang berhenti di simpang dan bersedia untuk membelok sebelum dilanggar oleh sebuah kereta Corolla belakang.

Sudahlah tidak turun berbincang, pemandu kereta berkenaan bukan sahaja enggan memberi kerjasama, malah memecut kenderaan serta melarikan diri.

Oleh itu polis kini sedang mengesan pemandu kereta jenis Toyota Corolla yang dipercayai terbabit dalam insiden perlanggaran membabitkan dua kenderaan di Persiaran Bukit Jambul 5, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian pada jam 8.48 pagi itu, kereta Perodua Alza sedang berhenti di simpang dan bersedia untuk membelok sebelum dilanggar oleh kenderaan suspek dari arah belakang.

Katanya, kereta yang dipandu suspek didapati tidak mengikut giliran dan memotong ke kanan iaitu garisan berkembar dan melawan arus.

“Kereta suspek kemudian mencelah masuk semula ke laluan asal di bahagian kiri apabila terdapat kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Tindakan pemandu Toyota Corolla itu menyebabkan dia melanggar bahagian belakang kereta Perodua Alza yang dipandu oleh lelaki warga tempatan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan pemeriksaan mendapati berlaku kerosakan kecil di bahagian kanan pada belakang kereta Perodua Alza, manakala pemandunya tidak cedera.

“Setakat ini, pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan Toyota Corolla berkenaan masih belum tampil bagi membuat laporan polis.

“Usaha mengesan pemandu dan pemilik kenderaan juga sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959,” katanya lagi.

Terdahulu, video berdurasi sejam 18 minit itu dikesan selepas dimuatnaik pemilik halaman di Facebook yang memaparkan kejadian sebuah kenderaan melanggar kenderaan lain dan melarikan diri sehingga membahayakan pengguna jalan raya.

Tamat