Isu rakaman audio yang tular di media sosial bukan punca Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali tidak terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas bagi sesi 2021-2023.

Dr. Mohd. Khairuddin berkata, menang atau kalah merupakan adat bertanding sekali gus menolak dakwaan yang rakaman audio dikaitkan dengannya itu  mempengaruhi sokongan perwakilan dalam pemilihan kali ini.

“Menang-kalah adalah perkara biasa dan pilihan setiap perwakilan yang berhak mengundi pucuk pimpinan parti.

“Apa yang penting, Pas perlu maju ke depan dan teruskan perjuangan tanpa menoleh ke belakang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Muktamar Tahunan Pas Ke-67 di Duyung Marina & Resort di sini hari ini.

Selainnya, turut tidak terpilih sebagai AJK Pas ialah Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Nik Abduh berkata, walaupun kini hanya bergelar ahli biasa, namun dia akan terus beristiqamah dalam membantu jentera parti dengan pendekatan tersendiri.

“Saya doakan barisan kepemimpinan baharu dapat terus membantu Pas kerana sebagai sebahagian daripada kerajaan Pusat, cabarannya pasti lebih besar.

“Tahniah kepada para sahabat, saya rasa hilang bebanan dan lebih ringan sekarang mengakui dengan keputusan itu,” ujarnya.