Tiada siapa sangka akibat kelar leher ibunya sehingga mati semalam, seorang lelaki seakan dihukum mati oleh Tuhan apabila maut digilis lori pagi tadi.

Kejadian yang berlaku di sebuah rumah Di Kampung Batu 5 di sini apabila menjumpai wanita warga emas, Sarah Jon, 70, ditemui terlentang di ruang tamu rumah dengan kesan kelar di leher dan cedera di telinga serta tangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada 7.30 pagi daripada orang awam yang menemui mayat terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan kelar sedalam lima inci (12.7 sentimeter) dan juga terdapat beberapa peralatan menghisap dadah dipercayai milik anak lelaki mangsa.


“Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang kesan pecah dan pada masa sama kita menerima maklumat berkaitan seorang lelaki maut digilis lori kira-kira satu kilometer daripada rumah wanita warga emas berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lelaki berusia 31 tahun yang maut digilis lori adalah anak wanita warga emas berkenaan.

Adzli berkata, siasatan lanjut mendapati dua beranak terbabit hanya tinggal berdua di rumah berkenaan dan sebelum kejadian mereka dikatakan kerap bertengkar kerana lelaki terbabit meminta wang ibunya untuk membeli dadah.

“Kali terakhir pertengkaran dikatakan berlaku malam tadi dan didengari jiran serta saudara yang tinggal berhampiran.

“Suspek dikatakan mengalami masalah ketagihan dan meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai penoreh getah dan masih bujang itu didapati mempunyai enam rekod lampau bersabit kes dadah dan dia juga adalah pesakit mental.

“Berdasarkan sisa syabu yang masih ada bersama peralatan menghisap dadah, kita tidak menolak kemungkinan dia menghisap dadah di rumah berkenaan dan diketahui ibunya.

“Mayat dua beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Sungai Petani untuk bedah siasat dan setakat ini, kes dianggap selesai,” katanya.

Tamat