TAMPIN: Kadar kos menunaikan ibadah haji akan datang dijangka diketahui sebelum awal Januari tahun depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata Kabinet dijangka memutuskan kos berkenaan dalam tempoh terdekat.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kadar haji akan datang akan meningkat jika mengambil kira ketetapan oleh Kerajaan Arab Saudi yang menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus.

“Malah, dengan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu ini susulan pandemik COVID-19, di mana penginapan hotel atau bilangan jemaah yang menginap dihadkan, sudah tentu akan membabitkan pertambahan kos.

“Namun, Kabinet akan menetapkan kadar itu dalam tempoh terdekat dan dijangka sebelum Januari tahun depan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Klinik Rohani di Dewan Alamanda Hospital Tampin, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Zaidi Ramli; Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Dr Mohd Ferous Alias dan Pengarah PKRC Tampin, Dr Siti Abidah Rodzi.

Dalam laporan media sebelum ini, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, kos haji dijangka meningkat pada musim haji akan datang susulan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi untuk menyempurnakan ibadah itu bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Syed Saleh berkata, peningkatan itu berdasarkan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos lain di Malaysia serta Arab Saudi, sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP seperti penjarakan fizikal, kapasiti bilik hotel dan bas serta jumlah jemaah di dalam Masjidilharam.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, TH bagaimanapun akan terus menyediakan subsidi, namun kadar subsidi sebenar itu belum ditetapkan lagi.

Beliau berkata, kos sebenar menunaikan haji adalah sebanyak RM24,000 tapi kerajaan hanya mengenakan caj RM9,980.

“Kerajaan bagi subsidi sebanyak RM12,000 lebih dan Insya-Allah kadar yang akan diumumkan nanti adalah pada kadar yang mampu disediakan bakal haji,” katanya.

Pada 2019, kerajaan memutuskan bayaran menunaikan haji bagi jemaah muassasah kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920.

Kos haji tahun 2020 adalah RM22,900 berbanding RM22,450 musim sebelumnya, namun Malaysia tidak menghantar jemaah pada tahun lalu susulan pandemik.

Sumber – Berita Harian

Tamat