Satu bentuk dana wakaf untuk kecemasan diwujudkan melalui kerjasama Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia serta Yayasan Waqaf Malaysia, Kenanga Investors Berhad dan MATCH Foundation.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, berkata menerusi kerjasama itu, Kenanga Investors Berhad akan menerbitkan Kenanga Global Shariah ESG Pre-Emergency WaqfLink Fund, yang merupakan sebuah dana Unit Amanah Islamik yang mempunyai elemen wakaf.

Menurutnya pelabur-pelabur yang melanggan produk pelaburan itu akan memberi persetujuan awal untuk mewakafkan sebahagian daripada pendapatan tahunan pelaburan mereka.

“Dana yang diwakafkan oleh pelabur-pelabur akan disalurkan secara tahunan oleh Kenanga Investors Berhad selaku pengurus pelaburan Dana Wakaf Bencana kepada Yayasan Waqaf Malaysia,” katanya di majlis menandatangani perjanjian kerjasama Dana Wakaf Bencana di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Dato’ Selamat Paigo; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Prof Madya Dr. Amir Shaharuddin.

Idris berkata, sebahagian daripada keuntungan dana pelaburan berkenaan akan diwakafkan pelabur dalam produk Kenanga Global Shariah ESG Pre-Emergency Waqf-Link Fund.

Konsep ini bagi memastikan penggunaan dana selari dengan hukum syara’, agihan akan dilaksanakan dengan kerjasama Match Foundation dan Majlis-majlis Agama Islam Negeri sebagai persediaan menghadapi bencana.

“Match Foundation akan bekerjasama dengan agensi-agensi bencana Kebangsaan seperti NADMA, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia dan NGO seperti MERCY, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Islamic Relief Malaysia bagi memastikan agihan dibuat secara berkesan,” katanya.

Menurutnya, sebahagian Dana Wakaf Bencana terkumpul akan ditukarkan kepada aset kekal dan sebahagian lagi dilabur dalam bentuk aset yang menjana pendapatan dan pelaburan dalam pasaran kewangan patuh syariah.

Ini katanya, bagi menghasilkan dana manfaat akan diagihkan dalam bentuk bantuan bencana seperti wang tunai, makanan dan peralatan keperluan harian.

“Kita mahu menterjemahkan konsep waqaf yang dibahaskan dalam kitab-kitab fiqh kepada bentuk produk yang praktikal memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Idris juga berkata, Yayasan Waqaf Malaysia bertuah kerana dipilih untuk terlibat dalam penghasilan dana prakecemasan berasaskan kewangan sosial Islam bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Malaysia.

Kata beliau juga projek itu inisiatif United Kingdom di bawah Foreign Commonwealth Development Office (FCDO) dan PwC Consulting Associate Sdn Bhd yang dilantik sebagai perunding projek.

Menurutnya juga dalam kalangan negara anggota ASEAN, Malaysia mencatatkan peratusan tertinggi penduduk yang terdedah kepada banjir iaitu pada kadar 67.0 peratus antara Julai 2012 dan Januari 2019.

“Setiap tahun, banjir menyumbang paling banyak kerosakan, kehilangan nyawa, wabak penyakit, kerosakan harta benda dan tanaman,” ujarnya.

Beliau juga berkata, instrumen Kewangan Sosial Islam iaitu zakat, wakaf dan sedekah sejak sekian lama memberi sumbangan besar kepada masyarakat dalam meningkatkan taraf dan kualiti hidup.

Oleh itu, kata beliau, mobilisasi instrumen kewangan sosial Islam melalui dana wakaf secara signifikan menyokong masyarakat rentan dengan membantu strategi pengurangan risiko banjir.

Tamat