Jijik dan memualkan itulah yang dapat diperkatakan selepas satu operasi Ops Bersih dijalankan di premis bertempat di Bagan Ajam apabila terdapat seperti daun kering, bulu binatang seperti burung serta ranting kecil di dalam tong gentian kaca yang menyimpan perapan kacang soya.

Disebabkan perkara berkenaan kilang tersebut diarahkan tutup serta merta selama dua minggu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) hari ini berikutan keadaan premis yang kotor selain tidak menepati standard keselamatan dan kualiti makanan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata keadaan itu dikesan menerusi pemeriksaan Ops Bersih dan kedua-dua premis itu dikenakan sembilan kompaun bernilai hampir RM9,000.

“Kami mendapati tahap kebersihan tidak mencapai piawaian di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan yang boleh menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan.

“Justeru, Notis Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selama 14 hari diberikan kepada kedua-dua premis terbabit berkuat kuasa hari ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Selain itu kilang tersebut turut didakwa menggunakan tong perapan lama yang berkulat dan berkemungkinan mempunyai kulapuk.

“Selain itu, tong tersebut juga kelihatan reput kerana sudah digunakan kira-kira 20 tahun lepas selain turut menjumpai kulat pada pelapik untuk mengeringkan kacang soya,” katanya.

Beliau berkata kilang kicap yang sudah beroperasi sejak 50 tahun itu juga disyaki menggunakan botol plastik kitar semula yang tercemar berikutan tidak melalui proses pembersihan ditetapkan dan dikhuatiri boleh mendatangkan risiko pencemaran.

“Kita dapati botol-botol plastik yang dijumpai (di belakang premis) tidak dicuci mengikut prosedur operasi standard (SOP) kebersihan dan dilakukan di tempat terbuka sehingga terdedah kepada najis binatang seperti cicak dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan kilang tersebut dikenakan lima kompaun bernilai kira-kira RM5,000.

Mohd Wazir berkata kilang memproses roti di Raja Uda di sini pula dikenakan empat kompaun bernilai kira-kira RM4,000 selepas pihaknya menemukan najis tikus di tempat penyimpanan dulang roti yang sudah lama tidak digunakan.

“Kita juga menemukan kesan lapisan minyak pada troli dulang bertingkat dan dulang roti itu sendiri sehingga menyebabkan kesan minyak menitis ke atas roti mentah pada bahagian bawah seterusnya menyebabkan pencemaran mahupun keracunan makanan,” katanya. –

Tamat