Pendirian Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berucap dalam bahasa Melayu pada persidangan antarabangsa di Scotland mengundang berbagai persepsi positif apabila turut mendapat perhatian Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

“Tahniah Tuan Ibrahim, Menteri Alam Sekitar berucap dalam bahasa Melayu di sidang antarabangsa di Scotland. Kumandangkan olehmu bahasa jiwa bangsa.

“Minggu lalu saya minta Perdana Menteri agar tegas dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan kita dalam arena diplomasi,” ciapnya di Twitter pada Khamis.

Kali ini menunjukkan Malaysia tegas dalam usaha mengembalikan maruah Bahasa Melayu, apabila terus dituturkan di khalayak semua bangsa secara bangga.

Dr Rais Yatim turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berucap dalam bahasa Melayu pada persidangan antarabangsa di Scotland.

Rais berkata, beliau turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar tegas dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan.

Selain itu, ucapan Tuan Ibrahim itu turut menerima berbagai reaksi positif daripada seluruh warga maya, rata-rata terharu, dan menyifatnya jiwa Melayu itu kembali bernyawa dengan bahasa yang pernah menjadi Lingua Franca itu.

Pada Rabu, Tuan Ibrahim membuat kemunculan pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland dengan menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 yang sedang berlangsung bermula 31 Oktober hingga 12 November ini.

Tamat