Kangar: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang kanak-kanak lelaki kini berusia empat tahun, yang ditinggalkan ibu kandungnya kepada seorang wanita di hadapan sebuah pusat beli-belah, BJ Court Pulau Pinang, pada 2017.

Pengarah JKM Negeri Perlis, Mohammad Hazam Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan seorang wanita meninggalkan seorang bayi lelaki yang pada ketika itu berusia antara dua hingga tiga bulan kepada seorang wanita yang bernama Hafiza Ezab, di hadapan pusat beli-belah berkenaan, pada 5 Julai 2017.

“Wanita berkenaan meminta Hafiza untuk menjaga sebentar bayi itu sementara menunggu ibu kandungnya datang untuk mengambil anaknya itu.

“Namun, setelah beberapa ketika, tiada sesiapa yang datang menuntut bayi itu dan dia kini dijaga oleh ibu kepada Hafiza yang menetap di Perlis sebagai anak angkat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, sehingga kini, ibu kandung kanak-kanak berkenaan terus menghilangkan diri dan gagal dikesan.

“Selain itu juga, kanak-kanak itu juga didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pencarian ibu kandung atau waris kanak-kanak dibuat oleh JKM bagi membantu urusan penempatan dan penjagaan terbaik bagi kanak-kanak yang akan ditentukan oleh mahkamah kanak-kanak,” katanya.

Sehubungan itu, ibu kandung atau waris kanak-kanak berkenaan atau sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung atau waris kanak-kanak ini diminta tampil menghubungi Pelindung JKM Negeri Perlis Isma Liza Mohd Isa di talian 04-9731926 atau 04-9731967 bagi membincangkan hal penjagaan kanak-kanak ini.