Festival Seni Silat Secara Maya dan Demonstrasi Aliran Pengurusan Silat Terbanyak Secara Maya berjaya mencipta dua rekod baru di Malaysia Book Of Records (MBOR) selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.

Program yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mendapat sijil khas MBOR disampaikan oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan MBOR, Jwan Heah Yeow kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Shahidan berkata, festival berkenaan dijalankan dalam usaha memartabatkan silat di peringkat dunia.

Malah, katanya, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga meletakkan silat sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan milik Malaysia.

“Terdapat 46 jenis aliran atau perguruan silat asli di Malaysia, jadi, kementerian akan berusaha menyatupadukan aliran perguruan ini bagi membantu memartabatkan imej silat agar dikenali ramai.

“Mereka akan mempamerkan silat perguruan masing-masing dalam satu platform yang diadakan serentak secara maya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Seni Silat Wilayah Persekutuan 2021 di sini hari ini.

Antara pertubuhan seni silat yang terbabit adalah Pertubuhan Seni Silat Terlak Tunggal, Pertubuhan Seni Silat Burung Rajawali Putih, Persatuan Silat Kalimah Kuala Lumpur ,Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia dan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Pusaka Warisan Bangsa.

Beliau berkata, selaras usaha memelihara warisan bangsa ini, KWP bercadang mewujudkan arena silat tetap di Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat bagi memudahkan penggiat seni silat menjalankan aktiviti serta mengadakan pameran kepada pengunjung.

Tamat