Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hari ini menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang juga merupakan Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah Bertaraf Menteri menerima darjah kebesaran berkenaan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, 19 individu menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri.

Seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan untuk 2021 manakala beberapa individu merupakan penerima bagi 2020.

Mendahului senarai penerima, bekas Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum dan bekas Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali.

Dua tokoh itu dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Richard adalah penerima SSM bagi 2020 manakala Raja Muhammad Alias merupakan penerima darjah kebesaran itu tahun ini.

Antaranya Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.