Pilihan Raya Negeri Melaka menyaksikan 11,557 pengundi akan mengundi awal esok di 31 pusat pengundian.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah pengundi awal itu terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis dan membabitkan 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuatkuasa seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, sanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.

“Proses pengundian awal akan disaksikan ejen calon yang bertanding, di samping SPR akan menyiarkan proses (pengundian) ini secara ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR,” katanya dalam kenyataan hari tadi.

Beliau berkata, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dengan kertas undi terbabit hanya akan dikira Sabtu ini, bermula 4 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen calon masing-masing,” katanya.

Tujuh lokasi mengundi bagi tentera dan pasangan akan dijalankan di Bilik Gerakan 96 DPP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Bilik Pusat Latih Palapes Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di DUN Durian Tunggal serta Dewan Sri Beruang Kem askar wataniah membabitkan DUN Bukit Katil.

DUN Sungai Udang merekodkan jumlah pusat pengundian awal terbanyak iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak I, SK Kem Terendak II dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak serta Dewan Borhan.

Hanya empat DUN tidak terbabit dalam proses pengundian awal iaitu DUN Tanjung Bidara, Pengkalan Batu, Duyong dan Serkam.

Tamat