Sejarah judi tidak pernah membantu membawa kebahagiaan serta kekayaan, yang pasti membawa kesengsaraan, derita sehingga berlakunya pembunuhan.

Sentiausaha Majlis Ulama Syura PAS, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, judi amat berlawanan dengan fitrah hidup manusia.

“Judi bukan hak asasi manusia. Ia jenayah penipuan harta manusia yang sebahagiannya bertopengkan nama hiburan dan kebajikan.

“Tidak memperbaharui lesen premis judi adalah usaha menyelamatkan harta manusia daripada terus tertipu dan terpedaya atas keinginan mahu kaya dengan segera.

“Tiada seorang pun menafikan bahaya judi kepada ekonomi dan sosial masyarakat. Berlakunya kehancuran akhlak, serta ekonomi keluarga seterusnya masyarakat apabila bergantung kepada sebagai sumber pendapatan,” katanya dalam laman Facebook rasmi beliau.

Menurutnya dengan apa cara sekalipun adalah untuk menghentikan objek perjudian yang langsung tidak membawa sebarang manfaat kepada manusia.

“Melalui industri perjudian ini yakni yang mengaut keuntungan hanyalah tokey-tokey kaya-raya, bomoh tilik nasib membawa kepada runtuhnya tauhid.

“Itupun masih ada institusi di Malaysia memperjuangkan permainan judi ini atas alasan kepentingan kaum.

“Sudah terang lagi bersuluh identiti perjuangan DAP melibatkan judi namun berani bercakap soal prinsip pembinaan negara bangsa, sedangkan ada rukun negara menyentuh soal kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Belum lagi mendapat sebarang mandat Lim Kit Siang sudah berani mempersoalkan tindakan negeri Kedah menuju ke arah negeri yang mendaulatkan Islam.

Tamat