Tindakan Kerajaan Negeri Kedah, tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi 4D disokong penuh oleh Persatuan Ulama di negeri berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Hafiz Mustafa Lubis berkata, langkah tersebut juga menjadikan negeri ini bebas daripada aktiviti perjudian.

“Tabiat berjudi dalam kalangan rakyat perlu dibenteras supaya agenda pembangunan insan di Kedah dapat disegarkan semula.

“Bermain judi boleh menghancurkan institusi kekeluargaan serta mengancam keselamatan awam sekali gus melibatkan aktiviti jenayah yang berpunca daripada perjudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pada masa sama, pihaknya berharap kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga akan segera mengambil langkah yang sama menghentikan pemberian lesen judi baharu bagi sebarang aktiviti perjudian.

Pada 14 November lalu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengumumkan kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan tidak akan mengeluarkan lagi lesen premis judi nombor 4D di seluruh negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan tersebut diambil bagi memastikan negeri ini bebas judi kerana aktiviti itu mengundang kerosakan dan keruntuhan institusi keluarga serta memudaratkan masyarakat.

Tamat