Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pesawat pejuang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth di sini, malam ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata TUDM telah diarahkan memberikan laporan lebih terperinci dengan segera selain menyiasat punca kejadian jam 10.07 malam itu.

“Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jen TS Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 yg terhempas di Butterworth tadi.

“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yg maut & seorang lagi yang cedera. Amat sedih & dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yg cedera telah dibawa untuk rawatan segera.

“@MINDEFMalaysia telah diarah utk salur apa jua keperluan kpd keluarga kedua-dua anggota terlibat,” katanya dalam akaun Twitternya malam ini.

Terdahulu, sebuah pesawat Hawk TUDM dilaporkan dikhuatiri terhempas dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth malam ini.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk pada jam 10.07 malam di kawasan landasan pangkalan berkenaan.