Pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan teknikal terperinci berhubung insiden sebuah pesawat pejuang jenis Hawk yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, di sini, malam tadi.

Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung nahas terbabit.

“Kita akan buat siasatan terperinci,” katanya secara ringkas ketika ditemui di pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, awal pagi hari ini.

Mohd Asghar Khan tiba hospital pada 1.52 pagi dan terus meluangkan masa melawat Mejar Mohd Fareez Omar kang kini menerima rawatan di HSJ dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.

Kejadian bermula pada malam semalam, apabila pesawat berkenaan terhempas di Pangkalan Udara Butterworth menyebabkan seorang juruterbang maut manakala seorang lagi cedera selepas pesawat pejuang Hawk milik TUDM terhempas.

Kapten Mohamad Affendi meninggal dunia dan jenazah sedang diuruskan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya keluarga kedua-dua juruterbang itu sudah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

“Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan ini.

” Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih.

“TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan Terperinci mengenai insiden berkenaan,” katanya.

Sebelum kejadian, kedua-dua juruterbang berkenaan dikatakan sedang melakukan latihan penerbangan.

Tamat